Sejarah

LATAR BELAKANG

Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuka mata pelbagai pihak tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan dalam menguruskan perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Berikutan peristiwa itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan. Pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara di bawah perintah MAGERAN telah diwujudkan bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara ini pada waktu itu. Sejak penubuhannya pada tahun 1969 itu, Jabatan Perpaduan Negara telah mengalami perubahan-perubahan seperti berikut ;
Tahun 1972
Jabatan Perpaduan Negara telah dicantumkan dengan Pejabat Muhibah Negara dan dijadikan Kementerian Perpaduan Negara.
Tahun 1974
Ditukar nama dari Kementerian Perpaduan Negara kepada Lembaga Perpaduan Negara dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Tahun 1980
Lembaga Perpaduan Negara dicantumkan dengan Urusetia Rukun Tetangga dan dinamakan Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Tahun 1983
Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara diubah kembali kepada nama asalnya iaitu Jabatan Perpaduan Negara.
Tahun 1990
Pada 27 Oktober 1990, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.
Tahun 2004
Pada 27 Mac 2004, Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dinamakan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional.
Tahun 2008
Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan.

Tahun 2009
Pada 9 April 2009, Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri.
 

DEFINISI

Bagi memahami secara lebih jelas tentang program-program Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta isu-isu perpaduan dan integrasi nasional, beberapa konsep dan istilah yang berkaitan perlu difahami.

Perpaduan Negara
Satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
(Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, Februari 1992)

Integrasi Nasional
Satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
(Jawatankuasa Integrasi Nasional, Jun 1991)

Bangsa Malaysia

Satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan yang sama dan diperkongsikan. Sejahtera dan bersatu padu di antara wilayah atau kumpulan etnik. Hidup dalam keadaan harmoni dan berkongsi dengan cara yang sebenar dan adil. Satu Bangsa Malaysia yang kesetiaannya, politik dan kebaktiannya tertumpu kepada bangsa tersebut.
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, September 2003)


Kumpulan Sasar

1. Latar Belakang Rukun Tetangga

Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga diperluaskan lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan.
Sehingga Mac 2009, sebanyak 557 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan di negeri Selangor. Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti di dalam komuniti mereka. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.

Logo Rukun Tetangga
 
Pengertian Logo
Keseluruhan Logo ini mengutarakan fungsi dan matlamat Rukun Tetangga (RT) ke arah pembentukan Bangsa Malaysia berlandaskan Rukun Negara.

1. Bulatan Besar
Bulatan besar pada logo ini menggambarkan rakyat negara ini sentiasa bermuafakat dan hidup bersatu padu.
2. Warna
Warna-warna yang digunakan pada logo ini adalah seperti mana yang terdapat pada Jalur Gemilang iaitu: Biru - Bermuafakat dan bersatu padu
Merah - Keberanian dan keluhuran
Kuning - Kejayaan dan keharmonian
Putih - Kesucian dan bertangungjawab
3. 5 Bulatan Kecil Warna Merah
Lima bulatan berwarna merah di bahagian atas Logo ini membawa pengertian lima prinsip Rukun Negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mesej yang dibawa menerusi simbol ini ialah seluruh rakyat mendukung dengan semangat kental serta luhur falsafah dan aspirasi Rukun Negara dengan mengamalkan dan menghayatinya.
4. 2 Bentuk Titisan Air Terbalik
Di bawah bulatan pada Logo ini terdapat 2 bentuk titisan air terbalik digambarkan seperti orang membawa maksud bahawa rakyat negara ini sentiasa bersungguh-sungguh berganding bahu bagi membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
5. Garisan Berwarna Merah
Dua garisan berwarna merah yang terdapat di kiri dan kanan Logo ini membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia sedia menghadapi apa jua ancaman dan serangan dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian sejagat yang akhirnya membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
6. Segi Tiga Berwarna Kuning
Segi tiga berwarna kuning yang terdapat di bawah Logo ini membawa pengertian bahawa Rukun Negara merupakan panduan seluruh rakyat Malaysia dalam usaha membangunkan Malaysia dengan mengambil kira nilai-nilai murni yang diamalkan bersama.
7. Garisan merah di atas garisan putih
Barisan warga Rukun Tetangga (RT) yang gagah berani mempertahankan keamanan Negara daripada segala bentuk ancaman dengan rasa keikhlasan dan ketelusan yang tiada tolok bandingnya.
8. Keseluruhan Garisan Berwarna Biru
Keseluruhan garisan berwarna biru memberi maksud bahawa rakyat Malaysia menggunakan pelbagai cara yang difikirkan sesuai mengikut nilai-nilai murni yang amalkan bersama bagi tujuan membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi menjamin pembangunan negara.




2. Latar Belakang Tabika Perpaduan

Program Tabika Perpaduan diperkenalkan pada tahun 1976. Ianya merupakan program pendidikan prasekolah yang disediakan untuk penyertaan kanak-kanak berbilang kaum yang berumur dalam lingkungan 5-6 tahun.

Tabika Perpaduan dibuka di taman-taman perumahan dan kawasan pinggir bandar terutamanya di kawasan yang mempunyai Skim Rukun Tetangga bertujuan untuk menyemai nilai-nilai perpaduan sejak dari awal lagi. Disamping itu, tabika perpaduan juga bertujuan untuk mewujudkan peluang kepada ibu bapa kanak-kanak daripada pelbagai keturunan untuk berinteraksi bagi meningkatkan lagi kesefahaman diantara mereka.

Objektif
Program Tabika Perpaduan bertujuan membolehkan kanak-kanak berbilang kaum menghayati nilai-nilai hidup bermasyarakat dan membentuk anak-anak yang memahami adat dan budaya yang pelbagai.

Tabika Perpaduan menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan dengan pengunaan pelbagai pendekatan supaya aspek pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik, berkesan serta menggembirakan kanak-kanak berasaskan konsep dan prinsip pendidikan prasekolah. Masa pengajaran dan pembelajaran adalah selama 3 jam sehari disamping aktiviti kokurikulum yang dijalankan di luar waktu kelas dan dilaksanakan mengikut kesesuaian dengan persetujuan ibu bapa/penjaga.