Pengenalan Skim Rukun Tetangga
Skim
Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan
rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim
ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah
bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada
masa kini peranan Skim Rukun Tetangga diperluaskan lagi dengan pendekatan
pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di
dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan.
Sehingga Jun 2012 , sebanyak 748 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan di negeri
Selangor. Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti
di dalam komuniti mereka. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk
setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama,
berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara pemimpin
dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.
Logo Rukun Tetangga
Pengertian Logo
Keseluruhan
Logo ini mengutarakan fungsi dan matlamat Rukun Tetangga (RT) ke arah
pembentukan Bangsa Malaysia berlandaskan Rukun Negara.
- Bulatan Besar
Bulatan besar pada logo ini menggambarkan rakyat negara ini
sentiasa bermuafakat dan hidup bersatu padu.
- Warna
Warna-warna yang digunakan pada logo ini adalah seperti mana
yang terdapat pada Jalur Gemilang iaitu: Biru - Bermuafakat dan bersatu padu
Merah - Keberanian dan keluhuran
Kuning - Kejayaan dan keharmonian
Putih - Kesucian dan bertangungjawab
- 5 Bulatan Kecil Warna Merah
Lima bulatan berwarna merah di bahagian atas Logo ini membawa
pengertian lima prinsip Rukun Negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Mesej yang dibawa menerusi simbol ini ialah seluruh rakyat mendukung dengan
semangat kental serta luhur falsafah dan aspirasi Rukun Negara dengan
mengamalkan dan menghayatinya.
- 2 Bentuk Titisan Air Terbalik
Di bawah bulatan pada Logo ini terdapat 2 bentuk titisan air
terbalik digambarkan seperti orang membawa maksud bahawa rakyat negara ini
sentiasa bersungguh-sungguh berganding bahu bagi membentuk satu Bangsa Malaysia
yang bersatu padu.
- Garisan Berwarna Merah
Dua garisan berwarna merah yang terdapat di kiri dan kanan
Logo ini membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia sedia menghadapi apa
jua ancaman dan serangan dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian
sejagat yang akhirnya membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
- Segi Tiga Berwarna Kuning
Segi tiga berwarna kuning yang terdapat di bawah Logo ini
membawa pengertian bahawa Rukun Negara merupakan panduan seluruh rakyat
Malaysia dalam usaha membangunkan Malaysia dengan mengambil kira nilai-nilai
murni yang diamalkan bersama.
- Garisan merah di atas garisan putih
Barisan warga Rukun Tetangga (RT) yang gagah berani
mempertahankan keamanan Negara daripada segala bentuk ancaman dengan rasa
keikhlasan dan ketelusan yang tiada tolok bandingnya.
- Keseluruhan Garisan Berwarna Biru
Keseluruhan garisan berwarna biru memberi maksud bahawa
rakyat Malaysia menggunakan pelbagai cara yang difikirkan sesuai mengikut
nilai-nilai murni yang amalkan bersama bagi tujuan membentuk satu Bangsa
Malaysia yang bersatu padu bagi menjamin pembangunan negara.